AMERIKA PERGUNA ANWAR
" PUTRAJAYA 19 Sept. – Wisma Putra memperoleh maklumat bahawa ada pihak tertentu dari Amerika Syarikat (AS) mempergunakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya dimaklumkan ada rancangan daripada pihak tertentu di AS untuk memastikan Anwar menjadi pemimpin hadapan bagi memudahkan kepentingan negara itu ‘masuk’ ke Malaysia.
Dalam satu strategi penjelasan untuk menangkis tohmahan pihak asing yang menyokong Anwar, Rais berkata, Wisma Putra akan menganjurkan satu seminar yang disertai duta-duta Malaysia yang bertugas di AS, Eropah dan Amerika Selatan di Washington pada 23 September ini.
“Apa sebabnya pihak tertentu di AS begitu taksub nak masuk ke negara ini, bukan kerana sayangkan Anwar, tetapi hendak melihat Malaysia gagal dalam banyak hal.
“Mereka (AS) tak sentuh Thailand, (politik) negara itu lagi teruk (berbanding Malaysia), tapi mereka lebih cenderung kepada Anwar supaya menjadi orang suruhan ketuanya (AS). Dari sudut itu, kita (duta-duta Malaysia) kena tangkis,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rais akan berlepas ke New York esok untuk mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan berada di sana dari 27 September hingga 1 Oktober untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Rais berkata, seminar yang akan dipengerusinya itu nanti akan menyediakan duta-duta berkenaan fakta lengkap mengenai sistem perundangan dan kedudukan ekonomi Malaysia termasuk penjelasan tentang Bajet 2009.
“Pihak tertentu di AS ‘kenakan’ kita dan kita harus berkebolehan mengetahui fakta-fakta terbaru tentang perundangan, ekonomi serta soal-soal politik tanah air,” ujar beliau.
Rais menambah: “Fakta-fakta itu kita sediakan kerana kita tidak mahu duta-duta Malaysia membuat penjelasan melulu.”
Beliau juga berkata, keyakinan tinggi Anwar menguar-uarkan pembentukan ‘kerajaan baru’ sejak beberapa bulan lalu mencetuskan keraguan di kalangan banyak pihak tentang siapa di belakang Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Walaupun akhirnya terbukti apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan pada 16 September lalu, namun Anwar masih terus mencanangkan impiannya itu dengan menuntut satu sidang khas Parlimen diadakan pada 23 September ini.
Alasan yang diberikan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meminta sidang khas itu diadakan adalah bagi membolehkan usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun Abdullah tidak melayan permintaan itu. " - Utusan Malaysia, Sabtu, 20 September 2008.
Owh WAIT WAIT!!!...Blom habis lagi...akibat perbuatan our saviour ni...kita sebagai rakyat Malaysia ni bakal menghadapi masalah rangkaian kehiduoan seperti di bawah pula...
RAKYAT TANGGUNG BEBAN PERBUATAN ANWAR
" KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ketaksuban Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri membawa kesan negatif kepada ekonomi negara dan boleh mengakibatkan rakyat menderita.
Bendahari UMNO, Datuk Abdul Azim Mohamed Zabidi (gambar) berkata, kesannya sudah dirasai apabila pasaran saham Bursa Malaysia jatuh melebihi jangkaan setelah tidak lagi mampu menarik pelaburan portfolio asing (FPI).
Katanya, impak negatif itu akan menjadi lebih ketara dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi apabila FPI semakin berkurangan dan tiada pelaburan baru.
Syarikat multinasional pula, jelas beliau, bersikap berhati-hati dalam memutuskan untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini atau di Vietnam dan Indonesia.
Beliau yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) berkata, paling menyedihkan ialah penarafan negara ini direndahkan menjadi setara dengan keadaan di negara jiran, Thailand.
‘‘Penarafan negara kita telah diturunkan kerana syarikat penarafan antarabangsa melihat keadaan politik negara kita tidak stabil.
‘‘Apabila penarafan ini diturunkan, jika negara mahu membuat pinjaman luar maka kadar faedah yang akan dikenakan adalah lebih tinggi,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Azim berkata, apabila negara dikenakan kadar faedah lebih tinggi maka kos tambahan perlu dibayar oleh rakyat.
Beliau memberi contoh, jika negara meminjam untuk membina lebuh raya dan dikenakan faedah tinggi, maka bayaran tol yang ditanggung oleh pengguna lebuh raya itu adalah lebih mahal.
‘‘Begitu juga dengan penurunan pasaran saham. Syarikat tidak akan mempunyai wang lebih untuk diberikan kepada pekerja sebagai bonus.
‘‘Jika pekerja tidak menerima bonus, kuranglah perbelanjaan mereka. Apabila perbelanjaan kurang, perniagaan tidak berkembang. Ini menimbulkan reaksi berangkai yang negatif,’’ ujarnya.
Katanya, namun, isu tol naik dan ekonomi lembap itu akan menjadi alasan kepada Anwar untuk menyalahkan kerajaan sedangkan punca sebenar ialah diri beliau sendiri.
Abdul Azim tidak menafikan ada faktor lain yang menyebabkan pasaran saham negara jatuh tetapi katanya, ia diburukkan oleh tindakan Anwar.
Katanya, apabila tindakan Anwar dilaporkan pula oleh media asing, ia menggambarkan seolah-olah suasana negara ini sudah kucar-kacir." - Utusan Malaysia, Sabtu, 20 September 2008.
Kesimpulannya sekarang ni...hmmmmm...i think i don't need any elaboration on this one...masing2 ade otak...pikirlah sendiri...:)

No comments:
Post a Comment